SHAH ALAM, 30 Nov — Festival HalalVibe Fest 2025 kembali memeriahkan Dataran Karnival Stadium Shah Alam dengan penyertaan lebih 300 usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang mempamerkan pelbagai produk makanan dan minuman, gaya hidup, kesihatan serta aktiviti keluarga.
Penganjuran oleh Halal International Selangor (HIS) ini mengangkat tema “Halal Untuk Semua”, menunjukkan komitmen Selangor untuk mempromosi gaya hidup halal sebagai konsep universal yang menekankan aspek kebersihan, keselamatan dan kualiti – sesuai untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
Bagi para peniaga, festival selama beberapa hari ini menjadi platform strategik untuk memperkenalkan produk baharu, meningkatkan jualan hujung tahun serta memperkukuh rangkaian perniagaan sesama pengusaha industri halal.

Seorang peniaga kek lapis Sarawak, Muhd Fazreen Muhd Taupik, 32, meluahkan rasa syukur atas sambutan luar biasa sepanjang festival berlangsung sejak Khamis lalu.
“Setakat ini memang tak berhenti pelanggan datang. Memang berbaloi sertai HalalVibe Fest,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif.
Peniaga lain turut berkongsi pandangan bahawa HalalVibe Fest 2025 menjadi “pemangkin semangat” buat mereka, khususnya bagi usahawan kecil yang jarang mendapat peluang menyertai festival berskala besar seperti ini.
Di sudut pengunjung pula, festival berkonsepkan halal dan gaya hidup ini turut menarik perhatian keluarga yang ingin menikmati aktiviti santai pada hujung minggu.
Seorang pengunjung, Fathiah Rahim, 40, berkata festival ini menawarkan pengalaman yang menyeronokkan kepada keluarganya, terutama dengan pelbagai aktiviti mesra kanak-kanak.
“Anak saya masuk pertandingan mewarna, suami pula seronok tengok street soccer. Banyak sangat aktiviti sampai tak sedar masa berjalan. Memang berbaloi datang,” katanya.
HalalVibe Fest 2025 turut menampilkan siri aktiviti menarik merentasi pelbagai minat dan peringkat umur, antaranya pertandingan kucing comel, Fun Run, Mamee Chef Cilik, pertandingan mewarna, Street Soccer, persembahan kebudayaan, serta aktiviti memancing udang kara air tawar, yang menjadi antara tarikan unik tahun ini.
Dengan penglibatan ratusan usahawan dan kehadiran orang ramai yang menggalakkan, HalalVibe Fest 2025 sekali lagi membuktikan kekuatan Selangor sebagai hab halal yang progresif, inovatif dan inklusif — seterusnya membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada PMKS tempatan.
Sumber : MALAYSIA AKTIF