PETALING JAYA, 5 Januari 2026 — Jenama kuih kapit tempatan milik usahawan Bumiputera, Mafenaz, mencatatkan peningkatan jualan yang ketara antara 30 hingga 50 peratus selepas memperoleh pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada tahun 2019.

Pengarah Urusan Haq Rich Enterprise, Shafinaz Ainaa Muslim, berkata pengiktirafan halal tersebut telah membuka ruang yang lebih luas kepada syarikatnya untuk menembusi pasaran berskala besar, termasuk menyertai acara rasmi serta menjalin kerjasama strategik dengan pelbagai pihak di dalam dan luar negara.

Menurut beliau, sebaik sahaja produk kuih kapit Mafenaz menerima sijil halal, jenama tersebut mula mendapat perhatian lebih meluas dan diterima dalam pelbagai platform pemasaran.

“Selepas memperoleh sijil halal, kami telah dijemput menyertai beberapa acara di luar negara, termasuk di China pada tahun 2019 untuk memperkenalkan produk kuih kapit halal keluaran kami,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Beliau menjelaskan sambutan yang diterima amat memberangsangkan, malah Mafenaz turut menerima pelawaan untuk mengedarkan produk ke beberapa negara lain sebelum aktiviti perniagaan antarabangsa terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain pasaran luar negara, produk Mafenaz juga berjaya menembusi pasaran domestik yang lebih luas, termasuk dijual di stesen minyak serta menarik minat pihak tertentu untuk menjadi ejen pengedar rasmi. Produk tersebut turut dipasarkan di kedai milik syarikat sendiri, Ratu Kapit Station.

Mengulas mengenai keputusan memohon pensijilan halal, Shafinaz berkata langkah tersebut dibuat selaras dengan hasrat syarikat untuk menaikkan martabat kuih kapit yang sering dilabel sebagai kuih tradisional atau kuih kampung.

“Kami percaya kuih kapit juga mempunyai potensi besar untuk berkembang dan menembusi pasaran yang lebih luas, termasuk di peringkat antarabangsa. Pensijilan halal adalah kunci kepada keyakinan pasaran,” katanya.

Menurut beliau, sijil halal bukan sekadar logo pada pembungkusan produk, sebaliknya merupakan jaminan kepada pengguna bahawa produk yang dihasilkan adalah bersih, selamat dimakan dan mematuhi Prosedur Operasi Piawai (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa halal.

Shafinaz menegaskan bahawa pensijilan halal memberi impak positif jangka panjang kepada perniagaan mereka, bukan sahaja dari segi peningkatan jualan, malah turut memperkukuh reputasi jenama serta kepercayaan pelanggan.

Pada masa ini, Haq Rich Enterprise memiliki 18 jenis kuih kapit yang telah mendapat pensijilan halal JAKIM. Bagi tahun ini, syarikat merancang untuk memperkenalkan pembungkusan baharu Kuih Kapit Mafenaz sebagai strategi untuk menggiatkan semula promosi di pasaran antarabangsa.

“Insya-Allah, kami juga bercadang menambah beberapa produk baharu untuk mendapatkan pensijilan halal JAKIM. Ini selaras dengan komitmen kami memastikan semua produk adalah bersih, selamat dan mematuhi piawaian halal,” katanya.

Sumber : UTUSAN