Oleh: Rosè.
Pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang melanjutkan pengajian ke Jordan dijangka memainkan peranan utama dalam memperkukuh ekosistem Halal negara.
Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, menyatakan bahawa tenaga pakar dalam industri Halal semakin diperlukan, bukan hanya dalam aspek pensijilan tetapi juga dalam tadbir urus dan pemantauan proses.
“Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia, yang dipimpin oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, sedang berusaha membangunkan ekosistem Halal secara menyeluruh. Usah ini selari dengan kejayaan negara dalam sektor kewangan dan perbankan Islam,” katanya.

Menurut beliau, Malaysia diiktiraf sebagai peneraju industri Halal global dan perlu terus memperkukuh ekosistemnya bukan sekadar melalui pensijilan, tetapi juga dari segi tadbir urus, perundangan, pembangunan sumber manusia serta pengantarabangsaan.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil Tamat Kursus Intensif Bahasa Arab (KIBA) di UCYP University yang melibatkan 124 pelajar sesi 2024/2025. Turut hadir ialah Naib Canselor UCYP University, YH. Profesor Dato’ Dr. Muhammad Fauzi Mohd Zain, dan Pengerusi Lembaga Pengelola UCYP University, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Prof. Dr. Noorul Ainur Mohd Nur.
Tambah beliau, aspek Halal bukan hanya melibatkan pengiktirafan sijil semata-mata tetapi juga kawalan berterusan bagi memastikan kepatuhan kepada prinsip Halal dan toyyiban.

“Setiap tahun, semakin banyak syarikat memohon sijil Halal. Oleh itu, kita memerlukan tenaga pakar untuk memantau dan memperkasa industri Halal agar terus berkembang dan menjadi rujukan global,” jelasnya.
Seramai 103 pelajar tajaan MARA di bawah Program Pembangunan Bakat Muda (YTP) telah menamatkan kursus enam bulan dalam bahasa Arab dan kepimpinan sebagai persediaan sebelum melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka di Jordan, termasuk Universiti Jordan, Universiti Al Albayt, dan Universiti Mu’tah. Program ini dijalankan dengan kerjasama antara MARA dan Yayasan Pahang.
Sumber: Pahang Media.