PUTRAJAYA, 8 Mei 2025 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengumumkan bahawa mulai 5 Mei 2025, semua permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang telah diluluskan kini akan diproses sepenuhnya secara elektronik melalui sistem MYeHALAL.

Langkah ini susulan pelaksanaan Sijil Pengesahan Halal Malaysia secara elektronik (e-CERT) yang bertujuan meningkatkan kecekapan dan ketelusan sistem pensijilan Halal negara. Proses ini terpakai bagi semua permohonan yang telah mendapat kelulusan daripada Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia peringkat JAKIM, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) selepas tarikh tersebut.

Menurut Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Sirajuddin Suhaimee, pemohon yang telah diluluskan kini boleh mencetak sendiri sijil Halal elektronik mereka terus melalui sistem MYeHALAL, tanpa perlu menunggu cetakan fizikal daripada pihak berkuasa.

Namun begitu, beliau menjelaskan bahawa sekiranya syarikat masih memerlukan sijil dalam bentuk fizikal yang dicetak dan disahkan, permohonan khas perlu dibuat secara rasmi melalui surat. Cetakan semula SPHM dalam bentuk fizikal ini akan dikenakan bayaran, selaras dengan Klausa 13 dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020.

“Pendigitalan ini adalah selaras dengan agenda Pendigitalan Perkhidmatan Awam Kerajaan MADANI, yang bertujuan meningkatkan kecekapan sistem penyampaian dan mengurangkan kerenah birokrasi,” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa JAKIM komited dalam memperkasa nilai daya cipta dan pembaharuan melalui penggunaan teknologi digital dalam urusan pensijilan Halal negara. Pendekatan ini turut mencerminkan sokongan terhadap pembangunan modal insan dan transformasi digital di bawah kerangka Malaysia MADANI.

Dengan pelaksanaan sistem e-SPHM ini, JAKIM bukan sahaja mempermudah urusan pihak industri, malah menjamin ketelusan dan keberkesanan dalam pengurusan sijil Halal, sejajar dengan perkembangan teknologi dan kehendak semasa pengguna.

Sumber: Astro Awani. | Sumber Gambar: Facebook Bahagian Hab Halal, JAKIM & WilayahKu