KUALA LUMPUR, 11 Disember – Rangkaian minuman teh dan ais krim terkenal, MIXUE Malaysia, mencatat satu pencapaian penting apabila lebih 100 cawangannya berjaya memperoleh Pensijilan Halal Malaysia daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sepanjang tahun 2025.
Dalam satu kenyataan hari ini, MIXUE Malaysia memaklumkan pencapaian itu dijangka meningkatkan keyakinan pengguna terhadap keselamatan, kebersihan dan status halal produk yang ditawarkan, selari dengan keperluan pasaran tempatan yang semakin menitikberatkan jaminan halal.
Menurut kenyataan itu, rangkaian cawangan MIXUE yang berkembang pesat kini meletakkan jenama tersebut sebagai antara rangkaian minuman teh dan ais krim terbesar di Asia Tenggara. Sejak mula beroperasi di Malaysia, MIXUE menegaskan komitmennya untuk menyesuaikan strategi perniagaan dengan nilai budaya dan sosial masyarakat Malaysia, khususnya berkaitan pematuhan halal.
“Sepanjang tahun 2025 sahaja, pasukan halal MIXUE berjaya membantu lebih 100 cawangan memperoleh pensijilan halal, dan kami akan terus memperluaskan bilangan cawangan yang disijilkan pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu.
MIXUE turut menegaskan bahawa pengiktirafan halal daripada JAKIM adalah langkah strategik penting bagi mengukuhkan kedudukan jenama dalam pasaran makanan dan minuman tempatan yang sangat kompetitif.
Komitmen Penuh Terhadap Sistem Jaminan Halal
Pada majlis penyerahan sijil halal rasmi, Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Muhyiddin Aziz @ Saari, menyampaikan sijil tersebut secara simbolik kepada Pengurus Besar MIXUE Malaysia, Wang Wei Long. Majlis itu turut disaksikan oleh Pengarah Bahagian Pelaburan dan Penjanaan Dana Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Ummu Hani Husna Abdul Aziz.
Dalam ucapannya, Wang merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyokong perjalanan halal MIXUE, termasuk JAKIM, YADIM, rakan media, pemegang francais serta rakan niaga strategik.
Beliau menegaskan bahawa setiap proses operasi MIXUE diperiksa dengan teliti bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap piawaian halal JAKIM.
“Daripada perolehan bahan mentah sehingga prosedur operasi di setiap cawangan, kami mematuhi semua keperluan JAKIM dan telah membangunkan Sistem Jaminan Halal MIXUE yang komprehensif,” katanya.
Setiap cawangan MIXUE diwajibkan mematuhi sistem tersebut bagi memastikan kualiti produk yang konsisten, pengurusan yang telus serta pematuhan undang-undang di seluruh negara.
Halal Sebagai Tanggungjawab Sosial Jenama
Sementara itu, Ketua Projek Halal MIXUE, Guo Xuying, menyatakan penghargaan kepada agensi kerajaan atas bimbingan profesional sepanjang proses pensijilan yang membantu MIXUE memperkukuh sistem jaminan halalnya.
Beliau menegaskan bahawa pensijilan halal bukan sekadar alat pemasaran, sebaliknya merupakan permulaan kepada komitmen jangka panjang MIXUE terhadap tanggungjawab sosial dan pengukuhan jenama.
“Pensijilan halal bukan penamat, tetapi titik permulaan kepada komitmen berterusan MIXUE dalam membina kepercayaan masyarakat dan memperkukuh jenama secara mampan,” katanya.
Sumber : BERNAMA