KUALA LUMPUR, 20 September 2025 – Serunai Commerce Sdn. Bhd., peneraju utama dalam penyelesaian digital Halal, telah muncul sebagai salah satu pemenang berprestij di Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) Awards 2025 di bawah kategori Anugerah Kecemerlangan Perkhidmatan.

Anugerah MIHAS yang dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) diiktiraf sebagai salah satu penghormatan paling berprestij dalam industri Halal global. Edisi ke-12 pada tahun ini meraikan 14 pemenang merentasi dua kategori utama, dengan memberi tumpuan kepada inovasi, kelestarian, serta bakat baharu yang semakin menyerlah dalam ekonomi Halal negara.

Pengiktirafan ini membuktikan komitmen Serunai Commerce dalam mentransformasi landskap Halal melalui teknologi, jaminan digital dan pembinaan ekosistem. Sebagai pencipta platform bertaraf global seperti aplikasi Verify Halal™ dan VH SMART™, Sistem Jaminan Halal Digital, syarikat ini memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab dipercayai untuk integriti dan pematuhan Halal.

Pengerusi MATRADE, YB Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata Anugerah MIHAS mencerminkan komitmen Malaysia terhadap inovasi dan kelestarian di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, sambil menegaskan kepimpinan negara dalam kecemerlangan Halal. Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, YBhg. Dato’ Sri Mohd Mustafa Abdul Aziz, pula menambah bahawa kejayaan pemenang termasuk Serunai Commerce membuktikan bahawa Halal bukan sekadar pematuhan, malah merangkumi daya saing, inovasi dan pertumbuhan jangka panjang.

Kategori Anugerah Kecemerlangan Perkhidmatan memberi tumpuan kepada syarikat yang menyumbang besar dalam bidang perkhidmatan Halal, termasuk logistik, e-dagang, teknologi dan industri sokongan. Serunai Commerce menonjol melalui pendekatan digital-first dengan menekankan ketelusan, keterkesanan penjejakan Halal, serta fasilitasi perdagangan rentas sempadan bagi perniagaan Halal di seluruh dunia.

Dengan pencapaian ini, Serunai Commerce mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju transformasi digital Halal, sekaligus memberi inspirasi kepada syarikat lain untuk terus berinovasi dan menembusi pasaran global. Kemenangan ini juga meningkatkan kredibiliti serta keterlihatan syarikat di peringkat antarabangsa, sekali gus membuka peluang baharu untuk kerjasama, rakan strategik dan jaringan perdagangan. Anugerah MIHAS 2025 bukan sahaja meraikan kecemerlangan, malah menggalakkan lebih banyak perniagaan mengintegrasikan nilai ESG, amalan lestari dan digitalisasi dalam operasi mereka. Bagi Serunai Commerce, kejayaan ini bukan sahaja satu penghormatan, malah menjadi motivasi untuk terus memperkasa PKS, pihak berkuasa dan rakan global dalam membina ekonomi Halal yang bertanggungjawab serta bersedia untuk masa depan.