KUALA LUMPUR, 18 Julai 2025 – Halal Development Corporation Bhd (HDC) sekali lagi membuktikan keupayaan Malaysia dalam sektor Halal apabila berjaya membawa pulang potensi jualan bernilai RM345.2 juta daripada penyertaan dalam pameran Japan International Food & Beverage Expo (JFEX) Summer Show 2025 yang berlangsung di Tokyo dari 9 hingga 11 Julai lalu.
Menurut Ketua Kerjasama Antarabangsa HDC, Mohamad Romzi Sulaiman, penyertaan dalam JFEX 2025 adalah sebahagian daripada inisiatif strategik untuk memperkukuh kehadiran Malaysia dalam pasaran Halal Jepun serta rantau sekitarnya.
“Pameran ini membuka ruang kepada 50 syarikat Malaysia yang memiliki pensijilan Halal dan bersedia untuk mengeksport produk mereka ke pasaran antarabangsa, khususnya Jepun.
“Pameran ini juga berperanan sebagai platform penting bagi mempromosikan jenama Halal Malaysia dan memacu potensi perdagangan serta pelaburan bernilai tinggi,” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.
Sepanjang tiga hari pameran, HDC berjaya memudah cara lebih daripada 100 sesi libat urus perniagaan antara pengeksport Malaysia dan pembeli antarabangsa, terutamanya dari Jepun.
Interaksi ini jelas menunjukkan permintaan yang semakin meningkat terhadap produk dan perkhidmatan Halal dari Malaysia, terutamanya dalam kategori makanan, minuman, kesihatan, kosmetik dan produk gaya hidup Halal.
Mohamad Romzi menambah bahawa penyertaan aktif Malaysia dalam pameran seperti ini turut memainkan peranan penting dalam mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab Halal global, selari dengan aspirasi Dasar Halal Negara dan sasaran HDC untuk meningkatkan sumbangan industri Halal kepada ekonomi nasional.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama antara agensi kerajaan, sektor swasta dan pemain industri adalah faktor penting dalam merealisasikan matlamat ini.
Kejayaan ini turut memberi petunjuk positif bahawa jenama Halal Malaysia semakin dikenali dan diyakini di peringkat global, khususnya dalam kalangan pengguna bukan Islam yang mengutamakan aspek kebersihan, kualiti dan keselamatan produk.
Sumber: Berita Harian.